Papers1 provider · 1 record
November 19, 2026· Research in Management of Technology and Business
article
Open access

Kajian Penggunaan Fintech dalam Pengurusan Kewangan Projek Pembinaan

Authors:Nurul Ain HarunRozlin ZainalHamidun Mohd Noh

Abstract

Teknologi kewangan (Fintech) semakin berkembang sebagai pemangkin transformasi digital dalam pengurusan kewangan moden melalui aplikasi seperti pembayaran elektronik, perakaunan automatik, blockchain, e-invois serta pemantauan kos secara masa nyata yang mampu meningkatkan ketelusan dan kecekapan operasi. Walau bagaimanapun, tahap penerapan Fintech dalam industri pembinaan masih relatif rendah berbanding sektor kewangan dan perkhidmatan lain, meskipun industri ini berhadapan dengan aliran tunai yang kompleks, kitaran bayaran yang panjang dan risiko kewangan yang tinggi. Secara teorinya, penggunaan Fintech berpotensi mengurangkan ralat manual, mempercepatkan proses pembayaran tuntutan, meningkatkan ketelusan rekod transaksi serta menyokong pemantauan kos projek secara lebih sistematik. Namun begitu, kontraktor kecil dan sederhana, khususnya kategori G4, sering berdepan kekangan modal untuk pelaburan teknologi, kekurangan kepakaran digital dalam kalangan kakitangan, tahap literasi teknologi yang tidak sekata serta kebimbangan terhadap keselamatan dan kerahsiaan data kewangan. Selain itu, kajian terdahulu menunjukkan masih terdapat jurang pengetahuan mengenai sejauh mana tahap penggunaan Fintech berkait dengan strategi pengurusan kewangan projek pembinaan secara menyeluruh. Sehubungan itu, kajian ini dijalankan bagi menilai tahap penggunaan Fintech, mengenal pasti strategi kewangan yang efektif serta meneliti hubungan antara kedua-duanya dalam kalangan kontraktor G4 di Kuala Muda, Kedah. Pendekatan kuantitatif digunakan melalui edaran soal selidik kepada 56 kontraktor G4 dengan kadar maklum balas sebanyak 67 peratus. Data dianalisis menggunakan statistik deskriptif (frekuensi dan min) serta analisis korelasi Spearman bagi menguji kekuatan hubungan antara pemboleh ubah. Dapatan menunjukkan bahawa tahap penggunaan Fintech berada pada paras sederhana, dengan aplikasi perakaunan automatik, pembayaran digital dan sistem ketelusan transaksi sebagai komponen paling dominan kerana mudah dilaksanakan serta memberi impak operasi yang segera. Strategi yang dikenal pasti paling berkesan ialah pelaksanaan e-invoicing dan e-receipt, automasi laporan kewangan serta pengukuhan keselamatan data. Walau bagaimanapun, analisis korelasi mendapati hubungan antara tahap penggunaan Fintech dan strategi kewangan projek adalah sangat lemah hingga lemah, menunjukkan bahawa penggunaan Fintech masih pada tahap asas dan belum diintegrasikan sebagai pemacu strategik dalam pengurusan kewangan projek. Kajian ini menyumbang kepada pemahaman industri mengenai keperluan peningkatan latihan digital, integrasi sistem kewangan dan pengukuhan tadbir urus teknologi, di samping menawarkan panduan praktikal kepada kontraktor PKS untuk meningkatkan kecekapan kewangan serta daya saing melalui penggunaan Fintech yang lebih menyeluruh dan berstrategi.

Community

0 comments
Use Connect Wallet in the navigation

No discussion yet

Be the first to share a question or observation.